Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemain Industri Sokong Hala Tuju Jaminan Keselamatan Bekalan Tenaga Sabah

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Pemain industri di Sabah telah menyatakan komitmen untuk memperkukuh strategi tenaga hijau selari dengan hala tuju kerajaan negeri dalam menjamin keselamatan bekalan tenaga dan memacu pembangunan perindustrian rendah karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KKIP Sdn Bhd, Datuk Lawrence G. Kimkuan berkata, pelan tenaga hijau KKIP merangkumi pemanfaatan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar sehingga 600MW, tenaga angin 200MW, dan tenaga laut 50MW.

” Model perindustrian hari ini menuntut kestabilan tenaga sebagai asas daya saing, Justeru kita akan menggabungkan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dengan gas asli bagi memastikan bekalan tenaga yang mampan serta berdaya saing dalam jangka panjang katanya dalam satu temubual khas bersama Sabah Media.

Tambah beliau,  KKIP kini dalam perbincangan bersama Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Petronas bagi mendapatkan bekalan gas untuk pembinaan loji janakuasa bebas (IPP) baharu.

“Langkah ini penting untuk memastikan KKIP dapat menampung permintaan tenaga industri tanpa bergantung sepenuhnya kepada grid utama,” jelasnya.

Lawrence menegaskan bahawa pendekatan tenaga hijau tersebut seiring agenda negeri dalam mengurangkan pelepasan karbon dan mengukuhkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang mampan.

Setakat ini, KKIP telah menarik pelaburan berjumlah RM13 bilion melibatkan 346 pengilang, selain mencipta lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Antara pelabur utama termasuk SK Nexilis yang melabur RM4.2 bilion dalam pengeluaran bahan bateri kenderaan elektrik, serta SPH Kibing Solar Glass dengan pelaburan RM3.2 bilion, dan Curix dari Korea Selatan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Kesan Ekonomi Langsung dan Rantaian Nilai

Aktiviti industri di KKIP menurut Lawrence, menyumbang RM90 juta hingga RM100 juta setahun kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selain sekitar RM40 juta kutipan cukai oleh pihak berkuasa tempatan.

“Manfaatnya turut dirasai sektor logistik, perumahan, perkhidmatan, dan peruncitan. Ekosistem industri yang berkembang mewujudkan rantaian nilai ekonomi yang secara langsung menggerakkan pertumbuhan negeri,” katanya.

Untuk rekod, Sektor tenaga akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah dikurniakan dengan sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan berpotensi menawarkan prospek yang kukuh untuk menyumbang secara signifikan kepada transformasi negeri dan negara menuju ekonomi berimpak tinggi.

“Sektor tenaga telah menjadi enjin pertumbuhan yang kritikal bagi ekonomi Sabah selama beberapa dekad lepas, memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negeri.

“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat sektor tenaga Sabah terus berkembang sambil memberikan kesan sosial yang positif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya ketika Persidangan Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah 2025 april lalu.

LEAVE A RESPONSE