Pegawai Kanan JAS Direman Berkaitan Siasatan E-Waste
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Seorang lagi individu awam turut direman selama tiga hari sehingga Ahad ini bagi siasatan yang sama.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Keempat-empat suspek dibawa ke mahkamah sekitar jam 9 pagi dalam keadaan bergari dan memakai pakaian lokap berwarna oren, diiringi pegawai SPRM.
Menurut sumber, Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS sebelum itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebelum ditahan sekitar jam 6.30 petang.
Siasatan kini menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa serta penerimaan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009.






