Read Time:1 Minute, 28 Second
KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang diperkenalkan kerajaan sebagai rangka perundangan baharu bagi memperkukuh keselamatan pengguna dan memastikan ruang digital negara lebih selamat.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM mengambil maklum bahawa ancaman jenayah dalam talian semakin serius dan memberi Kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Berdasarkan rekod PDRM, rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian dari Januari 2023 hingga November 2025.
“Dalam tempoh yang sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan 688 kes dicatatkan dari Januari 2021 hingga November 2025.
“Selain itu, kes berkaitan Child Sexual Abuse Material (CSAM) merekodkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Mohd Khalid berkata, pelaksanaan ONSA merupakan langkah penting bagi memastikan platform digital bertanggungjawab mengekang penyebaran kandungan berbahaya, menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak.
Selain itu katanya, ONSA turut dapat menghalang penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti dan kandungan ekstremisme.
Menurutnya, pendekatan ini selaras dengan komitmen untuk melindungi rakyat dan memastikan mereka selamat dalam persekitaran siber masa hadapan.
“PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan MCMC, kementerian berkaitan serta penyedia platform digital melalui pendekatan Whole-Of-Government, bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata, PDRM akan terus komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan.
Beliau berkata, pihaknya yakin bahawa ONSA akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara, serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks. – SABAH MEDIA






