PBS, StarSabah Anjur Konvensyen Bersama Esok, Kukuh Kerjasama Dalam GRS Hadapi PRN Sabah – Sabah News
KOTA KINABALU: Dua parti komponen penting dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), bakal mengadakan Konvensyen Bersama pada esok (Sabtu, 12 Julai) di Hongkod Koisaan, Penampang.
Konvensyen ini dilihat sebagai medan penting bagi merangka strategi dan memperkukuh jentera politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang kian hampir. Lebih 5,000 ahli dan pemimpin parti dari seluruh Sabah dijangka hadir dalam perhimpunan besar itu.
Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dijadualkan merasmikan konvensyen tersebut.
Turut dijemput adalah pemimpin parti-parti lain dalam gabungan GRS, menunjukkan tekad bersama dalam memperkukuh barisan kerajaan negeri.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, dan Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, akan menyampaikan ucaptama masing-masing, menggariskan halatuju serta pendekatan gabungan itu untuk memenangi hati rakyat menjelang PRN akan datang.
Konvensyen ini juga merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh PBS dan StarSabah pada 18 April 2024, satu langkah penting dalam membina persefahaman politik yang lebih erat dalam blok GRS.
Melalui konvensyen ini, PBS dan StarSabah dijangka menyatukan kekuatan serta memperkukuh kerjasama demi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran Sabah terus dipertahankan.