Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU : Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Inanam menegaskan kekuatan dan perpaduan parti itu tidak tergugat susulan tindakan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Datuk William Majimbun, menyertai Parti Warisan.
Sebaliknya, Ketua Bahagian PBS Inanam, Fredolin Totin Bangon, menyifatkan langkah itu sebagai satu cabaran yang akan memacu semangat bahagian tersebut untuk terus memperkukuh perjuangan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Pemergian Datuk William bukanlah satu kehilangan besar buat PBS Inanam. Kami menghormati keputusan beliau, namun perjuangan kami di sini tidak pernah bergantung kepada individu, sebaliknya kepada semangat kolektif ahli dan penyokong,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, mesyuarat PBS Bahagian Inanam yang diadakan pada 21 Oktober lalu menzahirkan sokongan padu kepada kepimpinan parti serta memperkukuh komitmen untuk memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.
“Seluruh jentera PBS Inanam kini memberi tumpuan kepada gerak kerja akar umbi, memperkukuh hubungan dengan rakyat, dan memperhebat persediaan menghadapi PRN akan datang,” katanya.
Fredolin turut menegaskan bahawa PBS kekal dengan prinsip asal perjuangannya — memperjuangkan kestabilan, keikhlasan, dan kepentingan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang politik.
“PBS sudah melalui pelbagai cabaran sejak ditubuhkan lebih empat dekad lalu. Apa yang membezakan kami ialah kesetiaan ahli terhadap perjuangan dan prinsip parti. Inilah kekuatan sebenar PBS,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua ahli dan penyokong PBS di Inanam terus bersatu hati serta tidak terpengaruh dengan sebarang usaha untuk melemahkan perpaduan parti.
“Ini masa untuk kita bangkit lebih kuat, bukan berpecah. Fokus kita kekal — memastikan kemenangan GRS dan membawa kestabilan kepada Sabah,” tegasnya. – SABAH MEDIA