Read Time:1 Minute, 45 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) merancang untuk melaksanakan beberapa program dan aktiviti termasuk mengukuhkan lagi kerjasama antara agensi khususnya di Sabah.
Pengerusi PBNS Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar berkata, antara program dirancang ialah meningkatkan sumber am melalui inisiatif pembangunan hartanah PBNS.
Selain itu kata, pihaknya juga mahu mengembangkan kutipan dana secara inovatif dengan meluaskan penggunaan platform digital selain pembangunan institusi dan amalan tadbir urus yang lebih baik.
“Sehingga kini bagi tahun 2026, PBNS telah mengagihkan sumbangan sebanyak RM451,648 untuk program-program kebajikan termasuk program yang dilaksanakan di bulan ramadan.
“Kami juga sedang meneliti pendekatan yang lebih strategik dalam memperluas jaringan kerjasama dengan sektor korporat dan agensi berkaitan bagi memperkukuh dana serta mempertingkat impak sosial program-program yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan dan Tautan Ukhuwah PBNS di sini pada Selasa.
Majlis disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih bagi mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Dr Omar berkata, pihaknya mahu menjadikan PBNS sebagai institusi baitulmal yang diyakini, berintegriti dan berimpak tinggi dalam pembangunan sosioekonomi umat Islam di negeri Sabah.
Sepanjang tahun lalu katanya, pihaknya telah melaksanakan pengagihan bantuan dengan jumlah keseluruhan lebih RM1.7 juta yang merangkui pelbagai jenis bantuan.
“Antara bantuan yang disalurkan adalah bantuan am kepada golongan memerlukan; sokongan kepada institusi Tahfiz; bantuan bencana; bantuan pendidikan; sumbangan kepada Masjid dan Surau dan program kemasyarakatan
“Selain itu, PBNS turut melaksanakan aktiviti dakwah dan projek komuniti termasuk pembinaan mini loji air terawat dan pemasangan tenaga elektrik melalui sistem solar yang dilasksanakan bersama Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.
Menurutnya lagi, pendekatan itu mencerminkan strategi PBNS yang bukan sahaja bersifat kebajikan segera, tetapi juga pembangunan jangka panjang, khususnya melalui projek komuniti yang meningkatkan akses kepada kemudahan asas.
“Selain pengagihan bantuan, tahun 2025 juga menyaksikan inisiatif penambahbaikan dalaman institusi.
“PBNS telah memperkukuh sistem pentadbiran sumber manusia dan pengurusan perakaunan bagi memastikan proses kerja yang lebih tersusun, pemantauan yang lebih efektif serta pelaporan kewangan yang lebih telus dan berakauntabiliti,” katanya. – SABAH MEDIA






