Pasukan ‘Task Force penyandang DUN Karamunting turun padang atasi bekalan air Blok A, Bandar Leila
Read Time:1 Minute, 1 Second
SANDAKAN: Pasukan ‘Task Force’ penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin turun padang bagi mengatasi masalah bekalan air terputus yang dialami penduduk di Blok A Bandar Leila di sini.
Masalah bekalan air itu terputus dipercayai akibat paip bawah tanah yang rosak, selain akibat hakisan.
George berkata, pasukan mereka segera turun padang sebaik menerima aduan penduduk dan menghubungi kontraktor Jabatan Air Sandakan untuk menyelesaikan segera isu berkenaan.
Katanya, kontraktor terus melakukan kerja penggalian dan penggantian paip baharu sebaik menerima makluman berkenaan isu itu.
“Bekalan air kini sedang dipulihkan secara berperingkat dan kebanyakan penduduk sudah menerima air.
“Kedudukan kawasan tersebut yang lebih rendah menyebabkan tekanan air agak lemah namun kerja membekalkan semula air dapat dilakukan dengan adanya pam tambahan untuk memastikan aliran air stabil,” katanya dalam kenyataanya di sini, hari ini.
Wakil Pasukan Task Force itu, Yap Hsiu Min bersama Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bahagian Karamunting, Chong Fui Sham turut meninjau kerja pembaikan paip itu.
George berkata, pihaknya akan terus bertindak setiap kali menerima aduan rakyat kerana keutamannya adalah memastikan kebajikan dan keperluan asas penduduk terjamin.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Air Sandakan dan kontraktor atas tindakan pantas mereka serta meminta penduduk bersabar sepanjang proses pembaikan dijalankan.






