Read Time:1 Minute, 6 Second
SANDAKAN: Penduduk Blok R, Bandar Ramai-Ramai kini boleh menarik nafas lega apabila masalah parit tersumbat yang berlarutan sekian lama akhirnya berjaya diselesaikan.
Masalah itu diselesaikan hasil inisiatif dan komitmen Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, yang bertindak segera selepas menerima aduan dan cadangan daripada penduduk setempat.
Menurut Hiew, parit yang tersumbat itu sering menjadi punca banjir kilat, pembiakan nyamuk aedes serta pencemaran di kawasan perumahan dan premis perniagaan berhampiran.
“Parit ini bersambung terus ke pesisir laut. Setiap kali air pasang atau hujan lebat, air tidak dapat mengalir dengan baik kerana saluran sempit dan cetek, menyebabkan limpahan ke jalan raya dan mengganggu aktiviti harian penduduk,” katanya.
Sebagai langkah percubaan, Hiew menggunakan dana peribadi untuk melebar dan memperdalamkan parit terbabit, selain menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan mengeluarkan longgokan sampah seperti botol plastik dan sisa pepejal.
“Kita bersyukur langkah ini memberikan hasil positif dan berjaya menangani isu yang sudah lama berlaku. Kita akhirnya menemui formula terbaik untuk menangani masalah seumpama ini,” ujarnya.
Penduduk tempatan turut bekerjasama membersihkan kawasan sekitar bagi memastikan parit kekal berfungsi dengan baik.
Hiew menegaskan komitmen pasukannya untuk terus memantau kawasan berkenaan serta mengenal pasti lokasi lain yang berisiko menghadapi masalah sama, terutama di kawasan berhampiran pantai.
“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan, kebersihan dan keselesaan penduduk sentiasa terpelihara,” katanya.






