Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pantau isu setempat, Shah Alfie seru penduduk jadi ‘mata dan telinga’ kerajaan

Read Time:1 Minute, 33 Second

PUTATAN: Masyarakat setempat diseru agar terus berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan bagi memastikan sistem pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lancar, telus dan berkesan di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata peranan itu merupakan mekanisme terbaik dalam meningkatkan keberkesanan jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan, selain berfungsi sebagai medium penyelesaian isu secara lebih efisien.

Menurut beliau, kerjasama orang ramai khususnya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat amat diperlukan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap permasalahan setempat dapat dikenal pasti dan ditangani segera.

“Kita mahu penyampaian pentadbiran kerajaan benar-benar sampai ke peringkat akar umbi dan bukannya sekadar retorik semata-mata.

“Sehubungan itu, sebarang permasalahan setempat disarankan untuk disalurkan melalui medium yang disediakan, dan saya sendiri akan turun padang bagi mengenal pasti isu-isu yang dibangkitkan.

“Saya mengajak seluruh masyarakat di DUN Tanjung Keramat untuk menjadi mata dan telinga kerajaan, bagi memastikan perkhidmatan serta permasalahan yang wujud dapat diselesaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di sekitar Taman Pantai Lok Kawi, di sini, hari ini.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Tanjung Keramat, Latip Jiar.

Dalam program berkenaan, Shah Alfie turut melakukan tinjauan menyeluruh termasuk kawasan tamu, kemudahan riadah penduduk serta pusat niaga di lokaliti taman tersebut.

“Saya turut mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan peniaga, penduduk dan orang awam di kawasan ini, di mana beberapa isu telah dibangkitkan kepada pihak kami.

“Antara permasalahan yang diajukan adalah penyediaan tandas awam, masalah lampu jalan, tempat pembuangan sampah, penyelenggaraan padang futsal dan juga tempat beriadah, “katanya.

Tambahnya, semua isu yang dibangkitkan akan dibawa kepada pihak berwajib, sambil menegaskan keselesaan dan kebajikan penduduk serta peniaga di kawasan Taman Pantai Lok Kawi sentiasa menjadi keutamaannya selaku wakil rakyat Tanjung Keramat.

Shah Alfie ketika mengadakan tinjauan rapat ke kawasan kemudahan riadah yang terdapat di Taman Pantai Lok Kawi, Putatan.

LEAVE A RESPONSE