Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU: Seorang pakar patologi forensik kanan bersetuju dengan pandangan pakar patologi forensik Dr Jessie Hiu bahawa kecederaan yang dialami Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, 74, turut bersetuju bahawa berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian, adalah tidak mungkin Zara terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di koridor asramanya.
Dr Bhupinder Singh yang merupakan Profesor Madya dalam Perubatan Forensik dan Perundangan di Royal College of Surgeons in Ireland & University College Dublin Malaysia Campus (RUMC), Pulau Pinang, memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam inkues Zara hari ini.
Beliau merupakan saksi ke-68 yang dipanggil oleh pasukan peguam diketuai Datuk Ram Singh.
“Saya telah meneliti semua dokumen yang diberikan kepada saya berkaitan kes ini. Satu bedah siasat yang teliti telah dijalankan oleh pakar patologi forensik dibantu pasukannya dan saya bersetuju dengan dapatan berkaitan kecederaan luaran dan dalaman,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi bertulisnya.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asramanya dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Proses penggalian semula mayat dijalankan pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos 2025 di Jabatan Perubatan Forensik, QEH.
Pada September tahun lalu, pakar patologi forensik QEH Dr Jessie Hiu, telah memberi keterangan sebagai deponen (saksi) pertama dalam inkues kematian Zara.
LINK BERITA TERDAHULU:






