Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ops Tiris 4.0 : KPDN Kudat rampas 400 liter diesel tanpa lesen sah


Read Time:1 Minute, 15 Second

KUDAT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat berjaya membongkar kegiatan penyimpanan minyak diesel tanpa kebenaran dalam satu serbuan di sebuah stor di Jalan Airport Kudat, di sini pada Selasa.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat Nazatul Shima Karim berkata, operasi itu dilaksanakan di bawah Ops Tiris 4.0, iaitu sebahagian daripada inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang bertujuan mengekang ketirisan barang kawalan di pasaran.

“Hasil pemeriksaan, pasukan penguat kuasa berjaya menemui sebanyak 400 liter minyak diesel yang disimpan secara tidak sah di dalam dua tong drum biru. 

“Siasatan awal mendapati bahan api itu dipercayai untuk kegunaan persendirian tanpa sebarang lesen atau kebenaran sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai pemilik stor berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. 

Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen.

“KPDN akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan secara konsisten dan lebih agresif, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Pulau Banggi.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan ketirisan barang kawalan dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, KPDN Cawangan Kudat turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau salah laku peniaga melalui saluran rasmi seperti WhatsApp Aduan, portal e-Aduan, talian pusat panggilan, emel serta aplikasi Ez ADU KPDN. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE