Read Time:1 Minute, 11 Second
LABUAN: Seorang peniaga pasar mini di sini dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati melanggar peraturan penandaan harga.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain, berkata tindakan itu diambil semasa pelaksanaan Ops Pantau 2026, yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan dalam kalangan peniaga.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan pada Selasa mendapati premis berkenaan gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang dipamerkan untuk dijual.
Kegagalan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah berpotensi menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan menjejaskan ketelusan urus niaga.
“Kesalahan ini merupakan pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Kompaun telah dikeluarkan serta-merta di lokasi selepas peniaga berkenaan mengakui kesalahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, hukuman boleh meningkat kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.
KPDN Labuan memaklumkan bahawa pemeriksaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dan lebih intensif, khususnya sepanjang Ramadan serta menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perdagangan di Labuan sentiasa berlandaskan peraturan dan melindungi hak pengguna.







