Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ops Pantau : KPDN Labuan kompaun peniaga guna alat timbang tamat tempoh


Read Time:1 Minute, 16 Second

LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga hasil laut di kawasan luar bandar Labuan selepas didapati menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh sah penentusahan semula bagi tujuan urus niaga perdagangan.

Tindakan tersebut diambil di bawah peruntukan Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] selepas kesalahan berkenaan dikesan dalam satu pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN menerusi Ops Pantau Alat Timbang dan Sukat di kawasan luar bandar Labuan pada Khamis.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan

Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan itu turut melibatkan premis peruncitan seperti kedai runcit dan gerai-gerai awam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati peniaga terbabit masih menggunakan alat timbang jenis neraca spring yang telah tamat tempoh sah penentusahan pada 15 Mac 2021 bagi tujuan transaksi jual beli.

“Penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan semula bagi tujuan perdagangan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Timbang dan Sukat 1972. 

” Jika disabitkan kesalahan, pihak yang terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini.

Junaidah berkata, KPDN Labuan mengingatkan para peniaga supaya memastikan semua alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan sentiasa ditentusahkan dan berada dalam tempoh sah melalui pembaik alat timbang dan sukat yang dilesenkan oleh KPDN bagi menjamin ketepatan sukatan serta melindungi kepentingan pengguna.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui saluran aduan rasmi yang disediakan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE