Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

ONSA mula dikuatkuasakan bermula hari ini, tingkat keselamatan dalam talian

Read Time:1 Minute, 20 Second

CYBERJAYA :  Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga mula dikuatkuasakan bermula hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian.

Ini termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

Menurut MCMC, ONSA terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah seksyen 46A, AKM 1998 berkuat kuasa hari ini. 

Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.

Secara keseluruhan, langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian.

Seiring dengan perkembangan ekosistem dalam talian di Malaysia, MCMC kekal komited untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati di laman sesawang MCMC di https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-releases/faq-the-online-safety-act-2025-onsa. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE