Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Objek disyaki bom di KKIA rupanya mainan kanak-kanak

Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan objek menyerupai bom tangan (hand grenade) yang ditemui di kawasan Balai Pelepasan Domestik dan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB KKIA) petang Jumaat hanyalah alat permainan kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek mencurigakan itu sekitar jam 1.40 petang.

“Bertindak atas makluman, Ketua Polis Balai LTAB KKIA bersama pasukan keselamatan segera menjalankan pemeriksaan dan menemui satu objek berwarna hitam di atas tiang penghadang berhampiran pintu masuk balai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah kawalan keselamatan segera dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan awam.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang kanak-kanak lelaki berpakaian seragam sekolah bersama seorang wanita telah meletakkan objek tersebut di lokasi sebelum beredar dari tempat kejadian,” jelasnya.

Tambah Kasim, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diketuai Deputi Superintendan John Batius kemudian dipanggil untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati objek berkenaan bukan bahan letupan, sebaliknya alat permainan kanak-kanak,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan sebarang objek mencurigakan di tempat awam yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat.

“PDRM turut menghargai keprihatinan orang awam dan pihak pengurusan LTAB KKIA atas kerjasama yang diberikan dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini,” katanya.

LEAVE A RESPONSE