Calon Parti Impian, Niyky@Niky Binti J. Bosikol, hari ini meneruskan siri turun padang dengan mengadakan lawatan mesra ke Tamu Kiulu sebagai usaha mendekati masyarakat serta memahami keperluan akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November 2025.

Kehadiran beliau disambut oleh para peniaga dan pengunjung yang mengambil kesempatan untuk menyampaikan pandangan mengenai ekonomi setempat, isu kemudahan asas, serta cadangan penambahbaikan bagi pembangunan Kiulu.

Dalam sesi interaksi bersama penduduk, Niyky@Niky turut menekankan kepentingan kerjasama antara pemimpin dan rakyat bagi membawa perubahan yang lebih baik untuk kawasan luar bandar.
Beliau turut menyatakan harapan agar masyarakat Kiulu dapat memberikan sokongan kepada beliau pada PRN 29-11-2025, sambil menegaskan bahawa mandat rakyat amat penting dalam memastikan perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya memohon sokongan masyarakat Kiulu pada PRN kali ini. Dengan mandat yang kukuh, kita boleh membawa lebih banyak perubahan positif, meningkatkan prasarana, dan memperkasa ekonomi tempatan,” ujarnya ketika berucap ringkas di hadapan para peniaga tamu.

Lawatan beliau ke Tamu Kiulu bukan sahaja memperlihatkan komitmen untuk memahami isu setempat secara langsung, malah menjadi platform bagi mendekatkan diri dengan masyarakat sambil memperkenalkan agenda yang ingin dibawa sekiranya diberi peluang mewakili kawasan berkenaan.






