Naik Taraf LRA Kogopon Stabilkan Bekalan Air Papar, LRA Kogopon 2 Siap Hujung 2026 – Sabah News
PAPAR: Isu gangguan bekalan air yang menjejaskan Mukim Kinarut termasuk Kampung Kawang sejak penghujung Disember tahun lalu kini kembali stabil susulan langkah intervensi segera menaik taraf kapasiti Jabatan Air Negeri Sabah di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerja-kerja intervensi jangka pendek itu berjaya meningkatkan kapasiti rawatan LRA Kogopon sebanyak 10 peratus bersamaan 4 juta liter sehari (JLH).
Menurut beliau, langkah tersebut melibatkan kerja menaik taraf pam sedia ada serta saluran paip ke tangki utama P3 di Kg. Kawang.
“Selepas berhadapan dengan gangguan bekalan kritikal bermula penghujung Disember 2025, saya bersama ADUN-ADUN telah berbincang dengan YAB Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari kaedah intervensi segera.
“Langkah yang diputuskan ialah meningkatkan kapasiti rawatan LRA Kogopon sebanyak 10 peratus. Syukur, kerja-kerja ini siap dalam tempoh dua minggu dan kini bekalan air di Mukim Kinarut termasuk Kg. Kawang telah stabil serta tidak lagi tertakluk kepada jadual catuan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataannya di Facebook selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Kg. Kawang, di sini, semalam.
Armizan menjelaskan, intervensi tersebut merupakan penyelesaian jangka pendek sementara menunggu projek jangka panjang iaitu pengoperasian LRA Kogopon 2.
“Dengan siapnya LRA Kogopon 2 kelak, kapasiti rawatan tambahan sebanyak 40 JLH akan menambah dan menstabilkan bekalan air bukan sahaja bagi keseluruhan Parlimen Papar, malah kawasan utara Parlimen Kimanis serta selatan Parlimen Putatan.
“Saya akan terus memantau agar projek naik taraf LRA Kogopon 2 ini siap mengikut jadual pada penghujung tahun 2026,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri serta warga Jabatan Air Negeri Sabah khususnya Jabatan Air Papar atas komitmen menyelesaikan isu bekalan air yang berlarutan sekian lama.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Jualan Rahmah Madani, Armizan berkata penganjuran di Kg. Kawang merupakan sebahagian daripada 1,898 siri PJRM yang diadakan sepanjang Ramadan di seluruh negara, menawarkan barangan keperluan asas pada kadar diskaun 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.







