Read Time:2 Minute, 0 Second
KENINGAU: Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17, landskap politik di Bingkor dan Liawan mula memperlihatkan perubahan nada kempen, khususnya daripada pihak yang dilihat kehabisan modal hujah.
Apabila rekod kerja dipersoalkan, segelintir pihak memilih untuk mengalihkan perhatian dengan membangkitkan sentimen serta drama politik, berbanding menjawab persoalan asas yang dituntut rakyat.
Menurut pemerhati politik tempatan, Clifford Spencer, apabila fakta tidak memihak, naratif emosilah yang akan diangkat.
“Dalam politik, apabila teguran dianggap serangan, itu tanda ada sesuatu yang cuba disembunyikan,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang menjadi teras pentadbiran negeri ketika ini, kekal dengan pendekatan berlandaskan rekod serta pelaksanaan dasar.
Berbanding menyaingi retorik, gabungan itu memilih untuk menunjukkan prestasi melalui projek yang siap, peruntukan yang sampai dan perubahan yang dirasai rakyat.
Dalam konteks ini, GRS menegaskan bahawa kebenaran tidak perlu diteriak, kerana tindakan adalah bukti paling meyakinkan.
Beberapa pihak turut mendakwa projek pembangunan yang dijalankan hanyalah hasil kerja kontraktor. Namun, hujah ini disifatkan dangkal oleh penganalisis kerana kontraktor hanyalah pelaksana, sedangkan perjuangan meluluskan bajet, memastikan kelulusan teknikal dan membawa projek ke peringkat kampung adalah hasil kerja dasar serta kepimpinan.
Jika logik itu diterima, setiap jalan, jambatan dan kemudahan awam seharusnya dinamakan atas nama syarikat kontraktor, bukan pemimpin yang memperjuangkannya di Dewan Undangan Negeri dan kementerian.
Antara dasar yang jelas memberi kesan kepada rakyat ialah Program Rumah Mesra SMJ, yang disalurkan kepada mereka yang benar-benar memenuhi kelayakan.
Menafikan peranan GRS dalam program ini hanya mendedahkan siapa yang tidak pernah menulis atau memperjuangkan satu pun cadangan dasar, tetapi hanya muncul untuk memetik kredit di media sosial.
Tuduhan bahawa GRS “mesra parti Malaya” atau “parti rasuah” turut dilihat sebagai taktik pengalihan perhatian, terutama daripada pihak yang tidak mempunyai rekod kerja untuk dipertahankan.
Bezanya, penyokong GRS berhujah menggunakan data, angka dan rekod — bukan emosi atau naratif separuh benar.
Di Bingkor dan Liawan, rakyat kini semakin matang. Mereka telah melihat sendiri siapa yang turun bertemu rakyat ketika tiada kamera, siapa yang mengurus kebajikan ketika tiada publisiti, dan siapa pula yang hanya kembali apabila pilihan raya semakin hampir.
Dalam politik Sabah, yang penting bukan slogan atau sorakan, tetapi siapa yang sudah membuktikan kerja.
GRS berdiri di atas pengalaman dan kesinambungan dasar — bukan pada janji yang melangit, tetapi pada pencapaian yang nyata.
Akhirnya, sejarah hanya mencatat dua jenis pemimpin: yang bekerja dan yang berdrama.
Dan rakyat Bingkor serta Liawan sudah lama belajar membezakan antara keduanya.
Caption: Clifford Spencer.






