Read Time:2 Minute, 1 Second
Oleh Normimie Diun
PENAMPANG: Industri fesyen tempatan berpotensi besar untuk berkembang pesat dan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganggarkan nilai potensi industri tekstil dan pakaian mencecah USD3.5 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada USD4.47 bilion menjelang tahun 2030.

Bagi memperkasa potensi itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited memperkukuh Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sebagai platform strategik meningkatkan daya saing industri tempatan, termasuk sektor fesyen dan gaya hidup.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen itu bukan sahaja memperkukuh keyakinan terhadap produk tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih mampan.
“Komitmen KPDN adalah memastikan potensi ini dapat dicapai melalui kerjasama dengan pelbagai pihak sekali gus berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran My Gaya Sabah (MGS) 2025 yang diadakan di International Technology Commercial Centre (ITCC), Penampang, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Toh Puan Faridah Tussin, isteri kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Program My Gaya Sabah merupakan kesinambungan kepada penganjuran My Gaya Month (MGM) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur sepanjang Oktober lalu. Melihat sambutan positif dan manfaatnya kepada pemain industri, edisi khas program ini diperluas ke Sabah buat julung kalinya, sejajar dengan agenda KBBM 2025.
Penganjuran MGS 2025 mengetengahkan pertunjukan fesyen melibatkan 10 jenama dan pereka tempatan, termasuk enam pereka dari Sabah yang menampilkan rekaan berinspirasikan khazanah budaya serta identiti negeri ini.
Selain pentas peragaan, program turut diserikan dengan pameran dan jualan 15 reruai, forum inspirasi, serta bual bicara bersama panel berpengalaman dalam bidang fesyen, tekstil dan keusahawanan.
Menurut Armizan, platform seperti MGS 2025 memberi ruang kepada pereka Sabah membina rangkaian kerjasama dengan pereka dari Semenanjung Malaysia, sekali gus memperluas pasaran dan mengukuhkan ekosistem industri fesyen tempatan.
“Dalam konteks Sabah yang terkenal dengan sektor pelancongan, industri fesyen tempatan juga berpotensi menjadi tarikan baharu kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Program itu dianjurkan oleh KPDN dengan kerjasama Persatuan Pereka Malaysia (MBDA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh promosi dan keupayaan jenama tempatan di bawah KBBM.






