Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

MUIS nafi dakwaan salah guna kuasa, tegaskan tuduhan lama tidak berasas

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menafikan dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pentadbiran dan pengurusan dana Tabung Zakat seperti yang kembali tular di beberapa laman media sosial baru-baru ini.

Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin berkata, tuduhan tersebut adalah fitnah lama yang tidak berasas dan telah pun disiasat sepenuhnya oleh pihak berkuasa sebelum ini.

Katanya, isu berkenaan pernah mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama, yang telah mengarahkan agar siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana zakat.

“Pada masa yang sama, MUIS juga telah mengambil tindakan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan tidak benar ini.

“Prosiding mahkamah masih berjalan dan wajar dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Yahya berkata, MUIS telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap keseluruhan akaun kewangannya termasuk Tabung Zakat.

Katanya, ia adalah bagi membuktikan komitmen terhadap integriti dan ketelusan MUIS.

“Hasil siasatan SPRM mendapati tiada sebarang unsur salah laku atau jenayah melibatkan mana-mana pegawai MUIS,” katanya.

Selain itu katanya, Jabatan Audit Negara turut menjalankan audit kewangan terhadap akaun MUIS setiap tahun, dan hasilnya institusi itu menerima Sijil Tanpa Teguran selama lima tahun berturut-turut.

Katanya, sijil itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap pengurusan kewangan yang telus, berhemah dan mengikut piawaian perakaunan yang ditetapkan.

“Dari sudut pengurusan kualiti, MUIS turut memperoleh Pensijilan Antarabangsa MS ISO 9001:2015 sejak tahun 2021, manakala kini berada di peringkat akhir untuk memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016.

“MUIS sentiasa komited memastikan tadbir urusnya kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tohmahan dan fitnah berunsur jahat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menjejaskan imej MUIS sebagai institusi Islam yang memelihara kebajikan asnaf dan memperkasa umat Islam di Sabah.

“MUIS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mencemar nama baik institusi ini,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE