Read Time:1 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah mengagihkan sebanyak RM170 juta zakat kepada golongan asnaf di seluruh Sabah sepanjang tahun lalu sebagai usaha berterusan membantu masyarakat yang memerlukan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, agihan zakat tersebut melibatkan pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan kewangan, kebajikan dan program pembangunan bagi memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela.
“Justeru, saya meminta agar lebih banyak lagi syarikat termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat perniagaan digalakkan untuk tampil menunaikan tanggungjawab mereka dengan menyalurkan zakat perniagaan melalui MUIS.
“Sumbangan zakat daripada sektor korporat amat penting bagi memperkukuhkan dana zakat yang akan diagihkan kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar MUIS di sini pada Jumaat.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih dan Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin
Dalam pada itu, Arifin berkata, MUIS akan meningkatkan usaha membina rumah untuk golongan asnaf sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuhkan kebajikan masyarakat Islam yang memerlukan di negeri ini.
Beliau berkata, usaha pembinaan rumah untuk asnaf itu telah pun dilaksanakan sebelum ini dengan beberapa buah rumah berjaya disiapkan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan memiliki tempat tinggal yang lebih selesa.
“Rumah-rumah yang dibina di bawah program ini akan dikenali sebagai Baitul Asnaf, iaitu kediaman khas yang disediakan untuk golongan asnaf yang layak,” katanya.
Bagaimanapun katanya, setiap penerima akan melalui proses penilaian dan pemeriksaan oleh pihak MUIS bagi memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada individu atau keluarga yang benar-benar layak dan memerlukan. – SABAH MEDIA






