Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Muafakat dan Sokongan Demi Kelangsungan Pembangunan Ulu Sugut – Sabah News

RANAU: Masyarakat di kawasan Kundasang diseru agar terus mengamalkan semangat muafakat dan bijak memilih pemimpin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang demi memastikan kesinambungan agenda pembangunan, khususnya di kawasan Ulu Sugut.

Pengerusi Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sani membuat seruan ini ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam merasmikan Pesta Etnik (Sungai, Talantang dan Tinagas) SUTATI Edisi Kedua yang berlangsung meriah di Ulu Sugut, pada Sabtu lalu.

“Saya amat teruja dengan penganjuran Pesta SUTATI edisi kali ini dan optimis penganjuran akan datang akan menerima suntikan dana tambahan bagi memastikan semua aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih meriah dan menyeluruh.

“Ini secara tidak langsung akan menggalakkan lebih banyak penyertaan, terutamanya dalam kalangan masyarakat setempat dan pelancong domestik, termasuk bagi acara tumpuan seperti 6th Ulu Sugut Offroad Challenge,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penganjuran pesta etnik seumpama ini adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang komited memperkasa peranan persatuan etnik dalam memelihara bahasa, tradisi dan budaya sebagai warisan generasi muda.

Dounis berkata, kelebihan memiliki wakil rakyat yang juga memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Penuh memberikan manfaat besar dari segi keupayaan menyalurkan peruntukan.

“Ini bukan sahaja memudahkan penganjuran program seperti pesta ini, malah membuka lebih banyak peluang pembangunan untuk kawasan Kundasang secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, sokongan padu dan semangat muafakat masyarakat adalah elemen penting bagi memastikan kelancaran penganjuran serta memberi impak positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi setempat, khususnya kepada komuniti etnik SUTATI.

“Inisiatif seperti ini juga membuka peluang menjana ekonomi komuniti serta memperkenalkan Ulu Sugut, Ranau sebagai satu lagi destinasi pelancongan baharu yang berpotensi,” ujarnya.

Penganjuran Pesta SUTATI Edisi Kedua dan 6th Ulu Sugut Offroad Challenge 2025 kali ini mendapat sokongan padu pelbagai pihak, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama dalam memartabatkan budaya dan warisan etnik tempatan.

Timbalan Presiden II Persatuan Tinagas Sabah dan Pengerusi Kelab Sulan dan Rekreasi Ulu Sugut Ranau, Jaminus Agang yang juga Pengerusi penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dan menyokong penganjuran pesta tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang pesta, antaranya pertunjukan kebudayaan, pameran, sukan tradisi, aktiviti air, pertandingan Sugandoi SUTATI, Konsert SUTATI dan acara malam ‘Masaan’ SUTATI yang mewarnai suasana sepanjang program.

Edisi kali ini juga memperkenalkan elemen baharu menerusi ‘Masaan’ SUTATI, iaitu persembahan gadis-gadis etnik dalam gaya ala Unduk Ngadau yang menyerlahkan keunikan dan kecantikan budaya tradisi.

Buat julung kalinya, penganjur turut memperkenalkan Anugerah Tokoh SUTATI bagi menghargai sumbangan individu dalam pemeliharaan budaya etnik masing-masing. Anugerah ini diberikan kepada Haji Din Solinggong @ Lubin (etnik Tinagas), Jimin Kidot (etnik Talantang), dan Ghani Tahir (etnik Orang Sungai).

Sementara itu, 6th Ulu Sugut Offroad Challenge 2025 mencatat penyertaan seramai 27 peserta dari dalam dan luar kawasan, menonjolkan semangat sukan ekstrem dan ketahanan fizikal dalam kalangan belia.

Jaminus menyatakan harapan agar Pesta SUTATI terus dianjurkan pada tahun-tahun mendatang dengan sokongan lebih besar daripada kerajaan negeri dan pemimpin setempat.

“Dengan peranan besar ADUN Kundasang sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Penuh, saya yakin pesta ini akan terus berkembang, khususnya jika beliau terus mendapat sokongan dalam PRN akan datang,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pemimpin etnik SUTATI dan persatuan yang berkaitan agar terus bekerjasama dan berganding bahu demi memastikan kesinambungan warisan budaya etnik Sabah.

LEAVE A RESPONSE