Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

MKK-DBKK perkukuh usaha Kota Kinabalu ke arah bandar mesra kanak-kanak

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Pelaksanaan Majlis Kanak-Kanak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (MKK-DBKK) dijangka memberi impak besar terhadap domain penilaian United Nations Children’s Fund (UNICEF) dalam usaha pengiktirafan Kota Kinabalu sebagai bandar mesra kanak-kanak.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, antara impak signifikan majlis itu ialah bagi mengukuhkan suara kanak-kanak dalam proses membuat keputusan di DBKK.

Selain itu katanya, MKK DBKK berupaya meningkatkan tahap kesaksamaan dan keterangkuman melalui penglibatan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang, serta penambahbaikan perkhidmatan asas melalui advokasi, pendidikan tidak formal dan pembangunan kapasiti.

“Program-program di bawah MKK-DBKK turut membantu DBKK menilai dan merancang ruang awam yang lebih kondusif dan mesra kanak-kanak, menggalakkan penglibatan komuniti serta meningkatkan tadbir urus bandar melalui pendekatan yang lebih responsif terhadap generasi muda.

“Dalam jangka panjang, usaha ini dijangka membentuk ekosistem bandar mesra kanak-kanak yang lebih kukuh dan berdaya tahan, sekali gus menyokong visi DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang sejahtera, selamat, hijau dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pelantikan sesi 2025-2027 dan pelancaran logo rasmi MKK-DBKK di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah, DBKK Datuk Sr. Lifred Wong.

Sabin berkata, konsep bandar mesra kanak-kanak adalah satu usaha global yang diperkenalkan oleh UNICEF sebagai komitmen untuk memastikan hak-hak asas kanak-kanak, seperti yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) 1989, dapat direalisasikan di peringkat tempatan.

“Sebagai ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu kini melalui fasa pembangunan dan urbanisasi yang pesat.

“Walaupun kemajuan ini membuka pelbagai peluang baharu, ia turut mewujudkan cabaran yang tidak boleh dipandang ringan, khususnya terhadap kesejahteraan golongan kanak-kanak.

“Mereka memerlukan ruang hijau untuk rekreasi yang mencukupi, seimbang terhadap kemudahan mesra kanak-kanak, serta pengurangan risiko keselamatan di kawasan bandar,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

LEAVE A RESPONSE