Read Time:2 Minute, 17 Second
Oleh Normimie Diun
PAPAR: Mini Karnival Gagasan Rakyat N.28 Kawang yang berlangsung di Dewan Lok Lawi Heights hari ini berjaya menarik lebih 200 penyertaan, terutama dalam kalangan golongan muda yang hadir memeriahkan pelbagai aktiviti anjuran Belia dan Beliawanis kawasan berkenaan.

Pengerusi tetap penganjur, Nerazia Mohin, 39, berkata penganjuran mini karnival itu bertujuan menggalakkan penyertaan belia melalui pendekatan santai dan menyeronokkan sambil mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
“Kami mahu orang muda aktif dan rasa dekat dengan komuniti. Sebab itu kami adakan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan melastik, gusti lengan dan Mobile Legends (e-Sport) untuk belia, manakala pertandingan mewarna, make-up dan melilit lamban untuk beliawanis,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini, hari ini.


Menurutnya, pertandingan mewarna dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, remaja 13 hingga 17 tahun dan dewasa 18 hingga 40 tahun.
“Sambutan sangat menggalakkan. Sejak pagi tadi lebih 100 peserta sudah hadir, termasuk hampir 60 penyertaan bagi pertandingan mewarna,” katanya.



Nerazia berkata, karnival tersebut merupakan antara inisiatif pertama tahun ini bagi menggerakkan komuniti belia di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di bawah DUN berkenaan.
“Selepas ini, kami akan adakan program serupa di PDM Kampung Laut, Pengalat Besar dan Pengalat Kecil. Setiap PDM akan merancang aktiviti masing-masing agar penglibatan belia dapat diperkukuh hingga ke akar umbi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya kini bersiap sedia dengan jentera seramai 500 orang terdiri daripada belia dan beliawanis yang akan menjadi tulang belakang kepada pelbagai aktiviti komuniti dan persediaan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
“Kebanyakan pengundi di DUN Kawang adalah golongan muda, dianggarkan sekitar 60 hingga 70 peratus. Jadi kami mahu pastikan mereka bukan sekadar pemerhati tetapi turut memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti,” katanya.
Ditanya mengenai bakal calon DUN Kawang mewakili GRS, Nerazia berkata, penduduk kawasan itu tetap memilih penyandang DUN tersebut iaitu Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar.
“Kami masyarakat kawasan ini tetap memilih Datuk Seri Ghulam kerana beliau merupakan wakil rakyat yang sentiasa dekat di hati rakyat, susah senang kami beliau sentiasa ada bersama kami,” katanya dengan penuh semangat.
Mengulas lanjut, Nerazia berkata, mini karnival itu dirancang dalam tempoh dua minggu hasil kerjasama lebih 60 ahli jawatankuasa belia dan beliawanis DUN Kawang.
“Walaupun masa perancangan agak singkat, semua komited dan program ini berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Bahagian DUN Kawang, Datuk Rosli Ibrahim.
Mini karnival itu disifatkan sebagai platform terbaik menghimpunkan tenaga muda, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat di DUN Kawang.
Hadir sama, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim dan Ketua Beliawanis Bahagian DUN Kawang, Yasmin Suraya Arun.