Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Menumbok, Kuala Penyu berpotensi jadi hab pelancongan baharu Sabah – Hajiji

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Normimie Diun

KUALA PENYU: Daerah Kecil Menumbok dan Kuala Penyu berpotensi besar menjadi kawasan pelancongan baharu Sabah sekiranya pembangunan strategik yang dirancang termasuk pembinaan Jambatan Labuan–Menumbok dapat direalisasikan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, pelan pembangunan yang dilancarkan melalui Pelan Strategi Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok akan menjadi panduan hala tuju pembangunan ekonomi setempat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Menumbok dan Kuala Penyu mempunyai kelebihan dari segi geografi, keindahan pantai, serta kedudukan berdekatan pulau-pulau pelancongan. Apabila jambatan menghubungkan Labuan ke Menumbok siap kelak, ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi termasuk pelancongan, perkhidmatan dan pekerjaan untuk penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok, Penyerahan Kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), Perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok serta Penyampaian Bantuan Yayasan Datuk Limus Jury, di sini hari ini.

Hajiji berkata, projek pembinaan Club Med Resort Kuala Penyu, yang kini dalam pelaksanaan, turut menjadi pemangkin pertumbuhan pelancongan dan akan menarik kedatangan pelancong antarabangsa.

“Apabila sektor pelancongan berkembang, rantaian ekonomi akan turut meluas  termasuk perniagaan kecil, perhotelan, pengangkutan, produk kraftangan, serta peluang pekerjaan. Ini adalah pembangunan yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa pembangunan Menumbok dan Kuala Penyu akan terus dirancang secara teratur dan menyeluruh supaya masyarakat tempatan menikmati hasil kemajuan itu secara adil.

Hadir sama pada majlis itu, penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu Datuk Limus Jury.

LEAVE A RESPONSE