Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Menaq tepis cabaran dan kesukaran, terus teguh di pasaran

Read Time:3 Minute, 8 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Pandemik COVID-19 menjadi ujian terbesar bagi banyak perniagaan kecil di Sabah. Salah satunya ialah jenama sambal Menaq, yang hampir menghadapi penurunan jualan sehingga menjejaskan kelangsungan perniagaan.

Namun, pengasasnya, Zarinah Nawawi, tidak patah semangat. Dengan sokongan suaminya yang sentiasa menjadi tulang belakang, beliau berjaya menyesuaikan diri dengan norma baharu perniagaan dan mengubah cabaran menjadi peluang.

Menurut Zarinah, strategi memperkukuh jualan secara dalam talian dan luar talian membolehkan Menaq terus bertahan. Dari sekadar produk buatan rumah, kini sambal Menaq menembusi pasaran lebih luas dan menjadi pilihan ramai pelanggan.

“Bila pandemik berlaku, kami perlu kreatif. Kami fokus kepada pasaran dalam talian dan usaha diteruskan dengan turun padang untuk jualan luar talian, termasuk mengikuti pameran selepas pandemik,” kata Zarinah ketika ditemui oleh Sabah Media di sebuah pameran sekitar bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menaq bermula pada 2016 dengan resipi keluarga. Sambal dihasilkan tanpa belacan, tanpa MSG dan tanpa bahan pengawet, mengekalkan rasa asli daripada bahan seperti ikan masin dan udang kering.

Percubaan awal hanya menghasilkan sepuluh botol untuk rakan-rakan pejabat, dan semuanya habis terjual. Dari situ, permintaan meningkat dan Zarinah mula mengembangkan pengeluaran secara berperingkat.

Kini, Menaq mengeluarkan dua jenis sambal iaitu Sambal Udang Kering dan produk paling laris, Sambal Ikan Masin, yang menonjol kerana teksturnya yang “chunky” dan rasa ikan sebenar yang asli.

Zarinah menekankan bahawa pemilihan bahan-bahan yang digunakan adalah sangat penting bagi mengekalkan kualiti rasa sambal mereka.

“Contohnya, ikan masin dan udang kering kami hanya diambil daripada seorang pembekal di Kudat. Ini kerana kualiti ikan masin dan udang kering mereka sentiasa konsisten. Selain itu, bahan-bahan untuk menghasilkan sambal mestilah segar.

“Kami tidak mahu, hari ini sambal yang dihasilkan sedap tetapi minggu berikutnya rasanya berbeza. Oleh itu, kami amat menekankan kepentingan mengekalkan kualiti rasa secara konsisten,” katanya.

Kini, sambal Menaq boleh didapati dalam botol dan peket, memudahkan pelanggan memilih mengikut keperluan. Pengeluaran bulanan mereka kini sekitar 2,000 botol dan peket, disesuaikan mengikut permintaan dan kapasiti modal.

“Pelanggan yang suka membawa sambal ke pejabat atau ketika melancong, mereka pilih peket kecil. Bagi keluarga, botol lebih praktikal,” jelasnya.

Zarinah menekankan pentingnya ilmu perniagaan dan kemahuan untuk belajar. Beliau turut menyertai kelas keusahawanan dan bimbingan agensi seperti Tekun Nasional dan beberapa agensi lain bagi memperkukuh strategi perniagaan.

Nama jenama Menaq berasal daripada perkataan “Menak” dalam bahasa Bajau Sambo, yang bermaksud ‘sedap’. Jenama ini telah berdaftar di bawah MyIPO sejak 2018, menandakan kesungguhan Zarinah memperkukuh kedudukan Menaq di pasaran.

Selain itu, Menaq kini merancang mengeluarkan produk baharu iaitu sambal Tuhau, sebagai tambahan kepada rangkaian sambal sedia ada, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan kelainan rasa tempatan.

Produk baharu ini dijangka akan menambah lagi pilihan untuk pelanggan dan mengekalkan daya tarikan Menaq di pasaran tempatan dan luar negeri.

Sabah Media turut meninjau salah sebuah pasaran dalam talian yang menjual sambal Menaq, dan rata-rata ulasan di ruangan komen memuji keenakan sambal Menaq serta perkhidmatan penghantaran yang cekap.

Bagi Zarinah, kejayaan Menaq adalah hasil ketekunan, kreativiti, dan semangat untuk bangkit daripada cabaran. Beliau turut berkongsi nasihat kepada wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan:

“Mulakan dari apa yang kita tahu dan minat. Jangan terus besar. Langkah kecil lebih realistik, tapi konsisten. Rajin bertanya, belajar ilmu perniagaan dan ambil peluang yang ada. Impian itu penting, tapi perlahan-lahan bina dari bawah,”katanya.

Menurut beliau, banyak agensi kini menyediakan sokongan kepada usahawan mikro, tetapi kejayaan tetap memerlukan usaha peribadi, pembelajaran berterusan, dan kreativiti dalam menguruskan modal serta pasaran.

Kini, Menaq bukan sekadar sambal dalam botol atau peket, tetapi simbol ketabahan dan kejayaan seorang wanita usahawan Sabah yang mampu mengubah tekanan pandemik menjadi peluang.

Keaslian rasa, pengurusan strategik, dan keberanian untuk menambah produk baharu seperti sambal Tuhau menjadi kunci kejayaan jenama ini, sekaligus memberi inspirasi kepada usahawan lain, terutamanya wanita, untuk bermula dari langkah kecil dan terus berkembang.

LEAVE A RESPONSE