Read Time:2 Minute, 21 Second
Dalam era digital tanpa sempadan, penyebaran kandungan berbahaya bukan lagi ancaman yang bersifat jauh. Naratif ekstremisme dan hasutan keganasan kini mampu menembusi ruang komunikasi masyarakat dalam masa sekelip mata — kadangkala tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, mesej berbahaya ini semakin canggih, tersirat dan disampaikan melalui strategi komunikasi yang direka khas untuk mengelak pengesanan awal. Ini menjadikan prinsip “Tiada Toleransi terhadap Keganasan” bukan sekadar slogan, tetapi keperluan kritikal bagi menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Kumpulan ekstremis dan pelaku keganasan global terus menyesuaikan taktik mereka. Daripada penggunaan simbol tersirat, bahasa berkod, visual yang diubah suai hinggalah kepada naratif emosi yang direka untuk menyentuh sensitiviti sosial, kandungan hasutan kini muncul dalam bentuk yang sukar dikenal pasti pada pandangan pertama.
Akaun tanpa identiti turut memainkan peranan besar dalam mempercepat penularan kandungan ekstrem. Penyebaran secara bersiri merentas platform menjadikan naratif berbahaya lebih mudah mencapai khalayak luas — termasuk individu yang terdedah kepada pengaruh negatif.
Di Malaysia, fenomena ini bukan ancaman hipotetikal. Seperti trend antarabangsa, negara turut terdedah kepada risiko apabila kandungan sebegini berpotensi mempengaruhi pemikiran, mengancam keharmonian sosial dan menggugat kestabilan jangka panjang.
Terdapat beberapa faktor utama yang menunjukkan urgensi menangani kandungan ekstremisme hari ini. Antaranya penyamaran mesej berbahaya semakin kompleks, menjadikan pengesanan awal lebih mencabar.
Selain itu, golongan belia, komuniti terpinggir dan individu yang berasa terasing adalah kelompok paling mudah terpengaruh selain penyebaran pantas berlaku apabila platform tidak bertindak segera atau mempunyai kawalan tidak konsisten.
Faktor lain termasuklah insiden global dan serantau membuktikan bahawa kegagalan menangani tanda awal boleh membawa kepada ancaman lebih besar dan harapan masyarakat meningkat selain pengguna mahukan platform media yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab.
Dalam konteks ini, tindakan segera dan tegas bukan lagi pilihan; ia menjadi tuntutan moral dan sosial.
Naratif ekstremisme tidak muncul secara tiba-tiba. Ia disusun dengan teliti dengan menggunakan bahasa simbolik yang hanya difahami pihak tertentu selain mencetus emosi kuat seperti ketakutan, kemarahan atau ketidakadilan.
Selain itu, naratif sama turut menyelitkan visual yang dimanipulasi bagi menggambarkan naratif tertentu dan menormalisasi tindakan ganas melalui penceritaan yang dilontar secara beransur-ansur.
Strategi ini membolehkan mesej bahaya menyusup masuk ke dalam pemikiran khalayak tanpa disedari, sebelum membawa kepada ideologi yang lebih ekstrem.
Ekstremisme sering tumbuh dalam ruang yang dipenuhi tekanan, kekeliruan dan rasa terasing. Individu yang berdepan pengasingan sosial; ketakutan masa depan; tekanan emosi, atau pendedahan kepada maklumat mengelirukan, lebih mudah terjerumus apabila disasarkan oleh naratif yang kelihatan “membawa penyelesaian”.
Memahami faktor ini membantu masyarakat — dan platform — mengenal pasti tanda awal serta memberikan sokongan sewajarnya sebelum pengaruh ekstrem berakar.
Tindakan platform digital memainkan peranan terbesar dalam memutuskan rantaian penyebaran kandungan ekstrem. Ini termasuk pengesanan awal kandungan berisiko tinggi melalui teknologi dan moderasi manusia; penyingkiran segera bagi kandungan yang mendorong keganasan dan kawalan konsisten merentas semua jenis kandungan dan pengguna.
Tindakan awal terbukti mengurangkan risiko perebakan mesej berbahaya dan menghindarkan masyarakat daripada terjerumus dalam gelombang pengaruh ekstrem. – SABAH MEDIA / FOTO REUTERS






