Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Memancing di kawasan pelantar minyak, lelaki dipenjara dua bulan

Read Time:1 Minute, 6 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki memancing ikan di kawasan pelantar minyak ERB West, yang merupakan kawasan larangan, membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Moreh Kareh, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan memasuki suatu kawasan larangan tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa.

Moreh melakukan kesalahan itu pada 1 Oktober lalu, jam lebih kurang 12.15 tengah malam di perairan Pulau Mengalum, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum dibawah Sekyen 7 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh anggota Pasukan Polis Marin yang menjalankan rondaan Op Taring Gelora di sekitar perairan Pulau Mengalum, selepas pasukan itu terserempak dengan sebuah pump boat yang dikendalikan tertuduh.

Ketika kejadian, tertuduh sedang memancing ikan di kawasan pelantar minyak ERB West, yang merupakan kawasan larangan.

Anggota polis marin kemudiannya menahan tertuduh serta merampas pump boat dan peralatan memancing sebelum membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap dan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.

LEAVE A RESPONSE