Read Time:1 Minute, 19 Second
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya golongan belia agar berdiri teguh di belakang pasukan Sabah FC menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata, detik bersejarah itu merupakan peluang terbaik untuk rakyat Sabah menunjukkan solidariti kepada pasukan negeri yang kini tinggal selangkah untuk membawa pulang kejuaraan selepas 27 tahun.
“Ini bukan sekadar perlawanan bola sepak. Ini adalah perlawanan maruah, identiti dan kebanggaan rakyat Sabah. Kita telah menanti selama 27 tahun untuk saat ini.
“Kami di MBS menggesa seluruh belia agar mengibarkan bendera, memakai warna kebanggaan Sabah dan menyokong Sabah FC tanpa mengira di stadium atau di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Pada masa sama Abqaree turut menyatakan bahawa sukan bola sepak adalah platform terbaik untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
Kejayaan Sabah FC menurut beliau akan menjadi inspirasi besar kepada golongan muda, khususnya dalam membina keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan.
“Apabila Sabah FC beraksi, seluruh Sabah bersatu. Inilah kekuatan kita. Saya mengajak seluruh rakyat, terutama belia, untuk menjadikan ‘final’ ini sebagai simbol penyatuan dan kebanggaan kita bersama.
“Sabah FC telah menunjukkan kerja keras yang luar biasa sepanjang musim. Kini tiba masanya kita membantu mereka mengorak langkah terakhir.
“Dengan semangat dan sokongan padu rakyat Sabah, saya yakin Sabah FC mampu mencipta sejarah pada Ahad ini,”katanya.
Beliau turut menasihatkan semua penyokong agar menjaga disiplin, mengutamakan keselamatan dan mengamalkan sorakan positif sama ada di stadium atau di lokasi tontonan awam di seluruh negeri. – SABAH MEDIA






