Read Time:1 Minute, 0 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Gelombang keyakinan terhadap kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, semakin terserlah apabila masyarakat Mukim Senagang berhimpun dalam sesi penerangan halatuju pembangunan Liawan yang disampaikan oleh Adzra Addy Jasni, wakil kepada penyandang ADUN berkenaan, semalam.
Dalam sesi itu, Adzra berkongsi rekod kerja lima tahun perkhidmatan Annuar di Liawan yang merangkumi usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur, kebajikan rakyat, sokongan terhadap ekonomi keluarga serta keprihatinan berterusan kepada komuniti pedalaman tanpa mengira latar belakang.
“Kehadiran ramai hari ini membuktikan bahawa rakyat Liawan tahu menilai. Kita tidak hadir dengan janji, tetapi dengan rekod kerja yang telah terbukti dan hubungan yang terjalin dari hati ke hati,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sokongan terhadap kepimpinan Datuk Annuar bukan sekadar soal politik, tetapi soal kestabilan, kesinambungan dan masa depan Liawan.
Menurutnya, Annuar sentiasa menunjukkan kepimpinan yang hadir di sisi rakyat setiap masa, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
“Kita mahu Liawan yang terus bergerak maju. Sokong kestabilan, sokong kepimpinan berpasukan, dan sokong calon yang sentiasa bekerja untuk rakyatnya,” ujarnya.
Kehadiran menggalakkan masyarakat Mukim Senagang pada sesi berkenaan dilihat sebagai tanda sokongan yang semakin kukuh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 pada 29 November ini.






