Read Time:1 Minute, 47 Second
RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan masyarakat apabila meluangkan masa bersama dua pertubuhan aktif di daerah ini.
Antaranya ialah Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Ranau dan Persatuan Sosial dan Kebajikan Ranau (PSKR) dalam satu majlis mesra komuniti di Red Hill, baru-baru ini.
Majlis ringkas itu menyaksikan kehadiran 30 pesara polis yang pernah berkhidmat di daerah Ranau serta 20 ahli PSKR, sekali gus menjadi wadah mempererat hubungan dan berkongsi pengalaman antara pemimpin masyarakat, pesara keselamatan dan aktivis kebajikan.
Dalam pertemuan tersebut, Masidi mengambil kesempatan bertanya khabar para pesara polis yang telah banyak menabur bakti dalam menjaga keselamatan negeri, selain menghargai penglibatan aktif PSKR dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
Bagi menyokong kelangsungan program kebajikan kedua-dua organisasi itu, Masidi mengumumkan sumbangan RM15,000 kepada PBPM Ranau dan RM8,000 kepada PSKR, menjadikan jumlah keseluruhan RM23,000.
Menurut beliau, sumbangan tersebut diharap dapat membantu pengurusan persatuan, memperkukuh tabung kebajikan, serta memastikan lebih ramai pesara dan masyarakat memerlukan menerima bantuan sewajarnya.
Pengerusi PBPM Ranau, Nuil Gutal, menzahirkan penghargaan atas sumbangan itu yang disifatkan sangat penting dalam memastikan kebajikan ahli terus terjaga.
“Sumbangan ini amat bermakna kerana dapat menampung keperluan kebajikan, kesihatan dan pelbagai bentuk sokongan kepada ahli kami,” katanya.
Nuil turut menyifatkan Masidi sebagai pemimpin yang mudah didekati, tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak, serta sentiasa mengambil berat masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Beliau menegaskan bahawa Masidi wajar terus memimpin Ranau kerana penglibatan aktifnya selama ini banyak membantu komuniti, termasuk mereka dari kawasan DUN Kundasang dan DUN Paginatan.
Pengerusi PSKR, Ayuna Jukita @ Dungkim, turut merakamkan penghargaan kepada Masidi atas sokongan berterusan terhadap persatuan itu.
Beliau mengimbas bagaimana Masidi sanggup turun padang melawat mereka walaupun dalam keadaan yang mencabar, memberi semangat kepada pasukan kebajikan PSKR untuk terus membantu mereka yang memerlukan.
Ayuna turut mengajak golongan muda menyokong usaha Masidi demi memastikan pembangunan masyarakat dan kebajikan di Ranau terus terjamin.
Majlis itu sekali lagi menonjolkan pendekatan kepimpinan Masidi yang dekat dengan rakyat, menghargai jasa bekas anggota keselamatan dan memberi sokongan berterusan kepada NGO tempatan yang menjadi tulang belakang kebajikan masyarakat. – SABAH MEDIA






