Read Time:1 Minute, 22 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal tanpa dokumen sah di perairan Sungai Salipar, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, penahanan itu dilakukan pada jam 2.10 petang selepas kapal peronda KM KIDURONG mengesan bot berkenaan bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan Op Sejahtera dan Op Tiris.
“Bot tersebut dikesan dari arah perairan Tawau menuju ke Wallace Bay sebelum ditahan di kedudukan 1.1 batu nautika utara Sungai Salipar.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bertindak sebagai juragan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa kotak disorokkan di dalam ruang simpanan bot yang mengandungi produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal.
“Juragan berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau pengisytiharan kastam yang sah berkaitan muatan tersebut,” katanya.
Ariffin berkata, juragan bersama bot, enjin serta muatan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Jualan Dadah 1952, Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, enjin dan barangan dianggarkan berjumlah RM71,000,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan produk kesihatan dan ubat-ubatan terbabit cuba diseludup keluar ke negara jiran bagi memenuhi permintaan pasaran luar.
“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan pemantauan di kawasan panas di perairan Sabah Timur bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau 999 untuk tindakan segera,” katanya.