Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Maritim Malaysia tahan vesel pukat jerut, lesen tamat tempoh


Read Time:1 Minute, 2 Second

LAHAD DATU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi dengan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi.

“Pemeriksaan awal mendapati, vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga Filipina berusia 37 tahun serta dua kru masing-masing berusia 27 dan 34 tahun. 

” Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati lesen vesel tersebut telah tamat tempoh.

“Kegagalan memperbaharui lesen bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan kawalan serta pengurusan sumber perikanan negara,” katanya.

Dzulfikhar dalam pada itu menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan dan akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara.

Katanya, vesel, kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

LEAVE A RESPONSE