Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Maritim Malaysia tahan bot tunda langgar syarat sah lesen

Read Time:1 Minute, 29 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot tunda tempatan kerana tidak mematuhi syarat sah lesen apabila juragan dan kru tiada daftar nama dalam lesen serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya telah berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot tunda di sekitar Perairan Tawau pada jam 8.30 malam kelmarin.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot tunda yang ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika selatan Kampung Muhibbah itu mendapati, seorang lelaki warga Indonesia berusia 55 tahun bertindak selaku juragan bot tersebut bersama dua kru lelaki juga warga Indonesia berusia 53 dan 54 tahun.

“Pemeriksaan dokumentasi bot tersebut telah mendapati juragan dan kedua-dua kru tidak mempunyai daftar nama pada lesen, tidak mempunyai sijil kompentensi serta gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

“Lesen bot tersebut seterusnya ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952(MSO 1952) kerana didapati melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Norihan dalam pada itu turut berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana komuniti maritim yang gagal mematuhi undang-undang, walaupun melibatkan kesalahan yang dianggap kecil.

“Pemilik dan pengendali bot dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan penguatkuasaan dan mengoptimumkan operasi bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di perairan Tawau diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

LEAVE A RESPONSE