Read Time:1 Minute, 50 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Tawau bukan sahaja terkenal dengan makanan enak, malah juga dengan keramahan penduduk dan kisah yang menarik untuk dikongsi kepada dunia.
Justeru, bagi menggalakkan anak muda memanfaatkan kreativiti serta teknologi dalam mempromosikan keunikan bandar ini, satu pertandingan“Mantap Tawau Vlog Challenge” dianjurkan baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Philip Yap Wui Lip selaku penganjur berkata, program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada anak muda dan peminat fotografi dengan hasil karya yang memaparkan keindahan landskap, makanan, budaya serta keramahan masyarakat Tawau.
Menurut Philip, pertandingan itu bertujuan mengetengahkan perspektif pencipta kandungan tempatan supaya lebih ramai mengenali keunikan makanan, budaya dan lokasi menarik di Tawau.
“Kami berharap melalui pertandingan ini, lebih ramai dapat melihat keindahan Tawau. Saya juga ingin menggalakkan anak muda menggunakan kreativiti dan teknologi untuk mempromosikan bandar kita. Selagi pelancong luar datang, anak muda memilih untuk kekal, dan ekonomi digerakkan, masa depan Tawau akan terus cerah,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Pejabat Tawau, semalam.
Pemenang bagi pertanding itu ialah Tsang Li Min (Anugerah Vlog Terbaik (RM1,000); Ng Xuan Yi (Anugerah Kreativiti Terbaik (RM500); April Lim (Anugerah Sinematografi Terbaik (RM500); April Lim (Anugerah Paling Popular (RM300) dan Anugerah Sagu Hati (RM50).
Dalam pada itu, Philip menekankan bahawa pertandingan tersebut bukan sekadar platform kreatif, tetapi juga ruang untuk mencungkil potensi anak muda dalam bidang penciptaan kandungan digital.
“Setiap vlog merupakan cerminan Tawau itu sendiri. Pada masa hadapan, kami akan terus menganjurkan program seumpama ini agar karya visual menjadi kuasa promosi untuk Tawau,” ujarnya.
Philip turut mengumumkan bahawa pertandingan serupa akan diteruskan tahun depan dengan pendekatan lebih segar bagi memperkukuh promosi pelancongan tempatan.
Dalam majlis itu, beliau turut melancarkan poster pelancongan dan makanan Tawau yang menghimpunkan lokasi menarik, sajian tempatan dan maklumat budaya bagi menarik pelancong untuk bermalam serta berbelanja di bandar itu.
Katanya, walaupun ramai pelancong dari China tiba melalui Tawau, kebanyakan mereka terus menuju ke Semporna tanpa singgah di bandar ini.
“Kita mahu mengubah keadaan itu dengan memastikan pelancong tahu bahawa Tawau juga memiliki tarikan tersendiri daripada makanan hingga budaya dan keindahan semula jadi,” ujarnya.
Philip turut menyeru masyarakat tempatan untuk bersama-sama memainkan peranan dengan berkongsi kandungan positif tentang Tawau di media sosial agar bandar itu lebih dikenali di peringkat antarabangsa.






