Read Time:1 Minute, 29 Second
Oleh Normimie Diun
KUNAK: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kunak, Datuk Norazlinah Arif, menegaskan bahawa Kunak kini berada pada landasan kukuh untuk dimajukan dengan lebih agresif, sekali gus menawarkan lebih banyak peluang baharu kepada penduduk.
Beliau berkata manifesto lima tahun GRS Kunak memberi fokus kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang dirangka untuk direalisasikan sekiranya diberi mandat semula.
Menurutnya, penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan dalam daerah sendiri menjadi agenda penting agar belia serta pasangan suami isteri tidak lagi perlu hidup berjauhan demi mencari rezeki.
Katanya, sektor pelancongan menjadi pemacu utama kerana Kunak memiliki aset pelancongan laut dan darat yang belum diteroka sepenuhnya.
“Segalanya sudah ada, tinggal memerlukan penggiat industri dan infrastruktur sokongan. Ini ruang besar untuk pekerjaan baharu,” katanya ketika ditemui Sabah Media semasa program Himpunan Gema Anak Kunak di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan Bandar Baharu Kunak turut menjadi projek yang akan melonjak ekonomi setempat dan mengurangkan penghijrahan penduduk bekerja ke luar daerah.
Kunak juga, katanya, menawarkan keunikan tersendiri berbanding Semporna kerana mempunyai gabungan produk pelancongan laut dan darat seperti Pulau Bohayan, Pulau Maganting, Pulau Pasir, Blue Ring Reef, Air Terjun Madai, Gua Madai, Tasik Impian serta kolam lumpur dan kolam air panas.
Justeru beliau berharap Kementerian Pelancongan Sabah dan Malaysia turut memberi tumpuan kepada daerah itu.
Norazlinah berkata belia turut diberi keutamaan menerusi pelaksanaan Kompleks Sukan Daerah Kunak selain usaha memperkasa kepimpinan serta keusahawanan generasi muda.
Menurutnya, sebahagian daripada sepuluh manifesto ditawarkan merupakan kesinambungan perancangan tujuh tahun lalu manakala selebihnya adalah inisiatif baharu untuk memperkukuh pembangunan Kunak.
Beliau menyeru para pengundi supaya menunaikan tanggungjawab pada Sabtu (29 Nov) ini.
“Seperti slogan GRS, rumah kita, kita jaga. Untuk Kunak, Kunak kita, kita jaga. Beri saya peluang sebagai anak jati Kunak untuk terus memimpin daerah ini. Undi calon nombor satu,” katanya.






