Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Manifesto berasaskan suara rakyat jadi fokus kempen calon GRS di Sungai Sibuga


Read Time:1 Minute, 21 Second

SUNGAI SIBUGA : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Sungai Sibuga Datuk Amirshah Yaakub, terus menggalas komitmennya dengan melakukan siri jelajah dan pertemuan santai bersama penduduk di beberapa buah kampung sekitar kerusi DUN berkenaan.

Aktiviti kempen beliau merangkumi program Walkabout dan silaturahim untuk mendengar secara langsung keperluan serta permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Kampung Sungai Obar, Kampung Batu Putih, PDM Merpati, dan Kampung Tinusa.

Di setiap lokasi, beliau disambut dengan mesra dan berkesempatan berinteraksi dengan pelbagai peringkat umur, termasuk pengundi muda yang menunjukkan sokongan padu.

“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh penduduk, terutamanya golongan belia, amat menggalakkan dan memberi semangat kepada kami untuk terus berkhidmat,” katanya.

Suasana kempen semakin rancak dengan pelancaran Manifesto Silaturahim yang berlangsung di PDM Tinusa.

Menurut Amirshah, manifesto tersebut dibentuk secara langsung daripada suara rakyat melalui pertemuan di kampung-kampung, perkongsian di lapangan, dan harapan masyarakat yang mahukan perubahan lebih baik.

“Manifesto ini lahir daripada suara rakyat. Ianya adalah cerminan hasrat dan keperluan sebenar penduduk Sungai Sibuga,” katanya.

Beliau berikrar untuk memastikan setiap suara rakyat didengar dan setiap isu diberi perhatian sewajarnya sekiranya beliau diberikan mandat.

Perancangan pembangunan yang berterusan dan tersusun untuk kesejahteraan semua penduduk menjadi teras utama manifesto tersebut.

Selain itu, Amirshah juga menzahirkan komitmennya terhadap penduduk di PPR Taman Murni dengan berjanji bahawa isu dan keperluan mereka akan diberikan perhatian yang serius.

Dalam setiap ucapan, beliau menekankan slogan “Untuk Masa Depan Sungai Sibuga Lebih Baik” dan mengajak semua penduduk memberikan sokongan dan undi mereka kepada calon mewakili GRS.

“Bersama kita jayakan manifesto ini demi sebuah Sungai Sibuga yang bersatu padu, makmur dan penuh kasih sayang,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE