Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU : Malaysia kini beralih daripada sasaran intensiti pelepasan kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) secara mutlak, dengan pelepasan dijangka mencapai tahap puncak antara tahun 2029 hingga 2034.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam YB Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, negara mensasarkan pengurangan pelepasan sebanyak 15 hingga 30 juta tan setara CO2 menjelang 2035.
Beliau berkata, Kerajaan Sabah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan Siri Ketiga Nationally Determined Contributions (NDC 3.0) Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Menurutnya, satu tonggak utama dalam usaha ini ialah pembentangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijadualkan pada Sidang Kedua Parlimen Jun 2026.
“Kerangka persekutuan ini akan diselaraskan dengan enakmen peringkat negeri, termasuk Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, bagi mewujudkan ekosistem perundangan yang saling memperkukuh.
” Pada masa yang sama, Kementerian sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) bagi memberi hala tuju jelas mekanisme pasaran karbon, meningkatkan integriti alam sekitar dan keyakinan pelabur, serta melengkapkan tadbir urus karbon sedia ada di Sabah.
“Ekosistem hutan Sabah yang luas serta sumber karbon biru meletakkan negeri ini pada kedudukan penting untuk menyumbang secara bermakna kepada matlamat mitigasi dan adaptasi,” katanya
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelaksanaan Aktiviti Komunikasi, Pendidikan Dan Kesedaran Awam (CEPA) Siri Ketiga NDC 3.0 Malaysia Kepada Perjanjian Paris Dengan Kerajaan Negeri Sabah di sini pada Khamis.
Arthur berkata, penyelarasan antara instrumen persekutuan dan pelan pembangunan negeri seperti Sabah Maju Jaya 2.0 perlu dilaksanakan bagi memastikan dasar kukuh untuk menggalakkan pelaburan hijau.
Katanya, strategi pengurangan GHG juga merangkumi pemuktamadan Pelan Tindakan Gender dan Pelan Tindakan Peralihan Adil, memastikan tindakan iklim bersifat inklusif dan saksama dari sudut sosial.
Sesi CEPA ini mendapat sokongan daripada United Nations Development Programme (UNDP) melalui program Climate Promise.
Dengan inisiatif ini, Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap usaha global menangani perubahan iklim sambil memanfaatkan potensi unik Sabah dalam mitigasi karbon.





