Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Malaysia Perkukuh Agenda AI Berdaulat Bersama NVIDIA dan YTL Power

Read Time:1 Minute, 11 Second

GYEONGJU, Korea Selatan : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan penuh makna bersama Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang, dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad (YTL Power), Dato’ Seri Yeoh Seok Hong, mengenai kemajuan pelaksanaan agenda Sovereign AI Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, ini merupakan pertemuan kedua selepas perbincangan terdahulu di Putrajaya yang menyaksikan pengumuman pelaburan bernilai RM10 bilion bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) menggunakan tenaga hijau.

“Pelaburan ini memperlihatkan kesungguhan bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia, NVIDIA dan YTL Power ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anwar berkata, perbincangan itu turut menzahirkan kemajuan besar Malaysia dalam memperkukuh agenda AI berdaulat — termasuk penubuhan Pejabat AI Kebangsaan, pelancaran ILMU, serta kejayaan pembinaan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor hasil kolaborasi YTL Power dan NVIDIA.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara negara peneraju AI menjelang 2030, bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya pencipta nilai dan pemacu inovasi yang mampu merancakkan ekonomi serta mensejahterakan rakyat.

“Membangunkan AI berdaulat adalah langkah penting bagi menjamin kedaulatan digital negara serta membina ekosistem yang berasaskan kepercayaan, keselamatan dan tanggungjawab moral,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL atas kemajuan yang dicapai, serta berharap kerjasama itu akan mempercepatkan agenda AI Malaysia demi kemaslahatan rakyat dan masa depan ekonomi MADANI yang inklusif, beretika dan mampan – SABAH MEDIA / FOTO PMO

LEAVE A RESPONSE