Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Malaysia akhiri kepengerusian ASEAN 2025, berjaya laksana peranan – Anwar

Read Time:2 Minute, 18 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR : Malaysia telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan semangat perpaduan, kesabaran dan kepimpinan yang mantap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengakhiri Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 hari ini. 

Berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Anwar berkata kejayaan blok serantau itu bukan sahaja diukur menerusi pemeteraian dokumen sebaliknya disiplin untuk bertindak dengan sabar, membangun mengikut rentaknya sendiri dan kekal tenang dalam ketidaktentuan.

“Kami juga gembira melihat berlakunya perbincangan dalam kalangan rakan kongsi dan kuasa di luar. Kami menghidupkan semula dialog, membina jambatan baharu dan membuktikan bahawa jentera ASEAN, apabila dipandu dengan kesabaran dan matlamat, tetap berhasil,” katanya.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ASEAN, disusuli persembahan video selama lima minit yang menampilkan pencapaian dan inisiatif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. 

Anwar turut mengakui bahawa tidak semua krisis dapat diselesaikan dalam satu tempoh kepengerusian malah satu generasi, kemajuan katanya datang dengan kegigihan.

“Sesetengah krisis akan berterusan; sesetengah kehidupan terus dibayangi keperluan untuk keselamatan dan kesejahteraan (fear and want). Namun sejarah (menunjukkan bahawa kejayaan) tidak datang bergolek…ia akan tiba dengan adanya kemahuan, kerja keras dan ketegaran mereka yang enggan berputus asa. Apa yang penting ialah setiap tindakan keberanian, setiap langkah kecil, membantu membawa rantau kita lebih dekat kepada harapan dan keadilan,” katanya.

Perdana Menteri yakin terhadap kemampuan Filipina selaku Pengerusi ASEAN yang baharu dan akan menyaksikan badan serantau itu bertindak dengan telus, berwibawa dan keramahan yang sinonim dengan rakyat Filipina.

Malaysia hari ini secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, secara simboliknya menandakan peralihan kepimpinan ketika Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi bagi tahun 2025.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada semua negara anggota, rakan dialog serta Sekretariat ASEAN atas kerjasama sepanjang tempoh Malaysia menerajui badan serantau berkenaan. 

“Tanpa sokongan berterusan mereka, matlamat kita mungkin kedengaran gah tetapi pencapaian tidak seberapa,” kata beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat atas kesabaran dan keramahan mereka sepanjang tahun ini, sambil menambah rakyat telah menyambut setiap tetamu dengan mesra, cuba menyesuaikan keadaan, memberikan gambaran bahawa keramahan bukan sekadar budaya sebaliknya sudah sebati dengan keperibadian rakyat negara ini.

“Di tangan anda, khidmat adalah tanggungjawab dan simbol kasih sayang kepada negara. Di mata dunia, anda telah memperlihatkan yang terbaik tentang Malaysia. Dengan itu, saya mengisytiharkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan ditutup,” kata Anwar.

Sejak mengambil alih daripada Laos, Malaysia telah menumpukan kepada usaha memperkukuh perpaduan, keterangkuman dan kemampanan. 

Dua pencapaian penting yang menandakan kejayaan sepanjang kepengerusian ini, iaitu kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN serta pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand.

Sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, ini kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab selaku pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.-  BERNAMA

LEAVE A RESPONSE