Read Time:1 Minute, 26 Second
TUARAN: Selupoh Masters Athletics Club (SMA) terus mengorak langkah memperkasa arena olahraga Masters apabila berjaya menganjurkan buat julung kalinya Majlis Kesyukuran dan Penghargaan 2024–2025 di Linangkit Cultural Village dalam suasana penuh semangat kesukanan dan kebersamaan.
Majlis yang menghimpunkan hampir keseluruhan ahli kelab bersama keluarga masing-masing itu mencerminkan kekuatan solidariti komuniti atlet masters di daerah ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Presiden Sabah Athletics Association, David William, serta tokoh sukan masters Tuaran, Ombilod Onul dan Tarmizi Sandhu, sekali gus menyerlahkan lagi prestij penganjuran berkenaan.
Presiden SMA, James Patrick berkata, majlis itu bukan sekadar acara penghargaan, tetapi simbol kesyukuran atas perjalanan cemerlang kelab sejak penubuhannya pada 12 Jun 2024.
Beliau menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran 1st Tuaran Athletics Masters Open Championship 2025 (TAMOC 2025) yang meletakkan SMA sebagai antara penggerak aktif pembangunan sukan Masters di Sabah.
Menurutnya, komitmen luar biasa atlet-atlet SMA yang kekal berdisiplin, kompetitif dan berdaya tahan berjaya mengharumkan nama kelab menerusi kutipan pingat di pelbagai kejohanan peringkat daerah, negeri, kebangsaan hingga antarabangsa.
“Semangat juang, disiplin tinggi dan kesetiaan atlet masters SMA membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di pentas olahraga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penderma dan rakan strategik yang menyokong kejayaan TAMOC 2025 serta berharap sokongan berterusan dapat diberikan menjelang penganjuran 2nd Tuaran Athletics Masters Open Championship 2026 (TAMOC 2026) pada 28 hingga 30 Mac 2026 di Kompleks Sukan Likas.
Pengiktirafan turut diberikan kepada penyumbang hadiah cabutan nama bertuah serta barisan Ahli Jawatankuasa SMA 2024–2026 yang menjadi tulang belakang pengurusan dan penggerak utama aktiviti kelab.
Majlis berkenaan bukan sahaja meraikan pencapaian, malah memperkukuh tekad SMA untuk terus melahirkan atlet masters berdaya saing, berdisiplin dan bersemangat tinggi dalam memartabatkan sukan olahraga di Sabah.






