Read Time:1 Minute, 4 Second
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran 2026 anjuran Badan Kebajikan Islam – Kementerian Kewangan Negeri Sabah (BKI-KKNS) yang berlangsung di sini pada Jumaat.
Program bertemakan ‘Semarak Harmoni Iftar: Kebersamaan Warga Kewangan’ itu dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang disertai peserta tadarus sebelum ketibaan tetamu kehormat.
Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan I, Datuk Chong Chen Bin; Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Sr Mohd Ishak Ayub; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datik Mohd Sofian Alfian Nair, serta pegawai kanan dan kakitangan kementerian.

Antara pengisian utama program ialah penyampaian sumbangan kepada 60 peserta tadarus BKI-KKNS oleh Masidi bersama Mohd Sofian sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka menjayakan program tadarus sepanjang Ramadan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderamata kepada peserta tadarus serta sesi bergambar bersama warga Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Sementara itu, Mufti Sabah, Bungsu @ Aziz Jaafar menyampaikan tazkirah Ramadan yang menekankan kepentingan memperkukuh ukhuwah, meningkatkan amalan ibadah serta memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan penjawat awam.
Majlis kemudian diteruskan dengan azan Maghrib dan jamuan berbuka puasa, diikuti solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah sebelum diakhiri dengan jamuan moreh.
Penganjuran program itu bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan warga Kementerian Kewangan Negeri Sabah.






