Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

MAFFI fokus perkasa sektor pertanian luar bandar – Jamawi

Read Time:2 Minute, 0 Second

SOOK: Inisiatif Kebun Dapur serta pelaksanaan program pertanian berasaskan teknologi moden diperkenalkan sebagai antara langkah strategik Kerajaan Negeri bagi memperkukuh keterjaminan makanan, mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar, khususnya dalam kalangan golongan B40.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha memperkasa sektor pertanian luar bandar menjadi azam utama beliau sejak hari pertama melapor diri sebagai menteri.

“Hasrat pertama saya ialah untuk mengangkat martabat dan kesejahteraan masyarakat tani, pekebun kecil serta nelayan yang kebanyakannya tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, iaitu B40,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Taklimat dan Kursus Penanaman Halia Fertigasi Kaedah Moden (Kebun Dapur) di Dewan Kampung Sinua, di sini pada Sabtu (7 Feb).

Jamawi berkata, Jelajah Kebun Dapur akan dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen di Sabah, dengan jelajah pertama dijadualkan berlangsung pada 15 Februari ini di Tuaran dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, katanya, kementerian bersama pegawai Jabatan Pertanian akan menyediakan pakej istimewa pada harga rendah melibatkan pembekalan input pertanian dan ternakan seperti ayam, kambing, ikan, sayur-sayuran serta lain-lain keperluan asas pertanian.

“Dengan adanya Kebun Dapur ini, di mana sayur-sayuran dan ternakan diusahakan di sekitar rumah, rakyat tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pembelian di kedai atau pasar,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Calvin Chin Kit Siong, petani kelahiran Melalap, yang telah menganjurkan program dan menyampaikan ceramah berkaitan penanaman halia kepada para peserta program.

Jamawi mengalu-alukan penyertaan seramai 150 peserta dalam program tersebut dan memaklumkan bahawa mereka akan dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada 15 orang setiap satu.

Sehubungan itu, beliau memperuntukkan RM2,000 bagi setiap kumpulan untuk membiayai projek penanaman halia.

“Saya yakin usaha ini mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri Sabah,” katanya.

Jamawi turut memberikan penerangan kepada penduduk kampung berhubung rasional larangan penanaman guarana di negeri ini oleh kementerian.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Jordan Jude Ellron; Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiungan; Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Sook, Azali Aling serta pemimpin setempat.

Dalam program berasingan, Jamawi, Jordan bersama Pegawai Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Keningau, Dachord J. Moujing melawat Sungai Transpegalan bagi meninjau masalah tali air sawah padi ke Kampung Kepayan Baru.

Jamawi juga melawat Empangan Panagatan yang sudah tidak dimasuki air yang mana selama ini, empangan ini menampung sistem pengairan dan saliran bagi empat buah kampung iaitu Kampung Kasigui, Kampung Ulu Panagatan Laut, Kampung Kipirong dan Kampung Panagatan Laut.

LEAVE A RESPONSE