Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata

Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang memfailkan Notis Usul (Notice of Motion) untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus Sabah.

Madius dalam hantaran Facebook beliau turut mendedahkan dokumen Notis Usul tersebut dan menyifatkannya sebagai dokumen yang  “sangat mengecewakan”.

“Satu dokumen yang sangat mengecewakan telah sampai ke tangan saya hari ini. Saya terpanggil untuk mendedahkan perkara ini kerana ia melibatkan maruah dan hak perlembagaan kita semua seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Menurut beliau, dokumen Notis Usul itu difailkan oleh Kerajaan Persekutuan pada Februari 2026.

Melalui Notis Usul tersebut, Kerajaan Persekutuan memohon agar pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam tuntutan Geran Khas 40 peratus  ditangguhkan (stay).

Madius turut mempersoalkan langkah itu kerana sebelum ini Perdana Menteri pada 11 November 2025 secara terbuka menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, dan bukannya terhadap keputusan berhubung tuntutan hak berkenaan.

“Dokumen ini memperlihatkan satu corak ‘ketidakhikhlasan’ yang nyata,” katanya.

Menurut beliau, sebelum ini ramai yang merasakan terdapat sesuatu yang tidak selari dengan kenyataan tersebut, namun perkara itu sering dinafikan.

“Walaupun ia dinafikan berkali-kali, tetapi akhirnya niat sebenar mereka itu telah terbukti apabila menghantar notis usul ini. Di depan rakyat mereka berjanji, tetapi di belakang tabir mereka menggunakan segala ruang teknikal untuk menghalang hak 40 peratus Sabah ini daripada dilunaskan segera,” katanya.

Selain itu, Madius juga mempersoalkan mengapa perkara sepenting itu dilakukan tanpa pemakluman terbuka kepada rakyat Sabah.

“Satu persoalan yang timbul juga ialah kenapa perkara sepenting ini dilakukan secara senyap-senyap tanpa sebarang pemakluman umum kepada rakyat Sabah?

“Jika benar kerajaan serius mahu memulangkan hak kita, mengapa perlu memfailkan permohonan untuk menggantung perintah mahkamah? Adakah mereka berharap rakyat Sabah terus leka dan tidak menyedari helah undang-undang ini?,” katanya.

Mahkamah Tinggi telah pun mendengar hujah, namun Kerajaan Persekutuan seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa undang-undang (Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan) menyebelahi Sabah.

Madius berkata keengganan untuk melaksanakan perintah mahkamah dan terus-menerus mencari jalan untuk menangguhkannya adalah satu bentuk penghinaan halus terhadap institusi kehakiman.

Katanya, Mahkamah Tinggi telah pun mendengar hujah kedua-dua pihak, namun Kerajaan Persekutuan seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa undang-undang (Perkara 112C & 112D Perlembagaan Persekutuan) menyebelahi Sabah.

“Ini bukan soal politik, ini tentang hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan seperti mana yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya yang mengongsikan dokumen Notis Usul tersebut untuk tatapan seluruh rakyat Sabah.

Tegasnya lagi: “Sabah menuntut keadilan. Mahkamah telah mengeluarkan perintah, Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga sudah bertitah, tinggal hanya kerajaan perlu laksanakan sahaja, bukan untuk menangguh-nangguhkan.”

LEAVE A RESPONSE