Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Lumba Perahu Naga berpotensi masuk dalam kalendar pelancongan Sandakan – Khairul Firdaus

Read Time:1 Minute, 8 Second

SANDAKAN: Pertandingan perlumbaan perahu naga berpotensi untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah ini kerana budaya yang ditonjolkan dalam aktiviti sukan itu mampu menarik kedatangan pelancong.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata sukan berkenaan yang membabitkan penyertaan daripada penduduk pulau mempunyai keunikan tersendiri.

Katanya, sukan berkenaan juga boleh diketengahkan ke peringkat kebangsaan, namun memerlukan pelaksanaan dan perancangan yang lebih rapi supaya ia tidak dilihat sekadar bentuk sukan kemasyarakatan.

“Kita tahu ini adalah sukan utama penduduk di kepulauan. Insya-Allah tahun hadapan mungkin perlumbaan perahu naga ini boleh dimasukkan dalam kalendar pelancongan.

“Saya percaya ia mampu menarik pelancong di luar sana untuk melihat keunikan yang ada terutama berkaitan masyarakat di pulau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program MOTAC Bersama Komuniti @ Perlumbaan Perahu Naga Zon Kepulauan di pantai Pasir Putih, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting, Datuk George Hiew.

Program anjuran MOTAC bersama Pejabat Parlimen Batu Sapi dan Persatuan Penggiat Seni Kreatif Sandakan (PPSKS) itu disertai 20 perahu membabitkan kategori lelaki dan wanita.

Khairul yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata, penganjuran program berkenaan sekali gus merapatkan lagi silaturahim penduduk daripada pulau dan pesisir pantai.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan lebih banyak program berkaitan kesenian dan budaya penduduk setempat pada tahun hadapan sebagai sebahagian usaha memperkasa sektor pelancongan di negeri ini.

LEAVE A RESPONSE