KOTA KINABALU : Lembaga Sukan Sabah (LSS) telah menjalankan siasatan awal terhadap penularan video berhubung keadaan Dewan Gimnastik di Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) di sini.
LSS dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan segera telah diambil bagi menyelesaikan beberapa isu yang tular termasuk fasiliti yang dilaporkan tidak selamat untuk kegunaan pengguna.
“Pihak LSS memandang serius setiap aduan yang dikemukakan dan komited untuk memastikan semua isu ditangani mengikut prosedur serta peraturan yang ditetapkan.
” Selain itu, LSS sememangnya berusaha untuk menyelesaikan perkara yang ditularkan melalui peruntukan khas.
“Harapan kami sama dengan harapan dan keinginan para pengguna yang menggunakan kemudahan di LSS,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.
Menurut LSS, isu yang ditularkan tidak menggambarkan usaha dan keinginan LSS malah akan sentiasa mahukan para pengguna berasa selamat dan selesa semasa menggunakan kemudahan di Kompleks-kompleks Sukan.

” Kerjasama dan maklum balas daripada orang awam amat dihargai bagi membantu pihak LSS menambah baik kualiti perkhidmatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan kemudahan sukan rosak di gimnasium Kompleks Sukan Likas yang sudah lama dibiarkan tanpa penyelenggaraan.
Isu itu menimbulkan risiko keselamatan serius kepada kanak-kanak. – SABAH MEDIA






