Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

LKTNS salur RM4.62 juta lebihan pendapatan kepada peneroka wilayah timur

Read Time:1 Minute, 22 Second

SANDAKAN : Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) menyerahkan lebihan pendapatan sebanyak RM4.62 juta bagi tahun 2025 kepada 300 peneroka Wilayah Timur di sini pada Sabtu.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Pengerusi LKTNS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamad Yassin dan turut dihadiri Pengurus Besar LKTNS Datuk Syaheddrul R Joddari.

Hadir sama menyaksikan penyerahan itu ADUN Sungai Manila Hazem Mubarak Tun Musa yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB).

Syaheddrul berkata, agihan itu melibatkan 184 peneroka Sungai Manila dengan jumlah RM3.3 juta; 12 peneroka Suan Lamba sebanyak RM180,000, dan peneroka Ulu Dusun berjumlah RM280,000.

Menurutnya, agihan itu akan dibuat secara berperingkat bermula akhir Januari ini hingga awal Februari 2026.

“Peningkatan ini hasil kerja keras semua pihak – pengurusan ladang yang lebih tersusun, kawalan kos yang berkesan, dan hasil ladang yang meningkat.

“Purata pendapatan peneroka bagi tahun 2025 telah mencecah RM1,910 sebulan, melepasi sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pengeluaran buah tandan segar di Sandakan dan Sukau meningkat hampir 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pencapaian itu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui geran RM2.5 juta untuk baja dan RM2.36 juta bagi penambahbaikan jalan ladang.

“Jalan yang lebih baik mempercepat penghantaran buah ke kilang, manakala baja berkualiti menurunkan kos peneroka dan meningkatkan produktiviti pokok sawit secara berterusan.”

“Dengan kejayaan agihan lebihan pendapatan ini, LKTNS terus komited dalam meningkatkan kesejahteraan peneroka dan produktiviti ladang, selaras dengan usaha memperkukuh ekonomi komuniti setempat.

“Diharapkan manfaat ini dapat memacu motivasi peneroka untuk terus meningkatkan hasil dan menjamin kelestarian ladang sawit di Wilayah Timur,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO LKTNS

LEAVE A RESPONSE