Read Time:1 Minute, 45 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Orang ramai khususnya di negeri ini kini boleh menikmati beras berkualiti tinggi pada harga mampu milik menerusi pelancaran rasmi Beras MEKAR lapan kilogram (kg).
Produk terbaharu keluaran Sabaras Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) itu dilancarkan di Millennium CKS, Penampang di sini sempena Kempen Cabutan Bertuah CKS 11.11.

Pengurus Besar LKTNS Datuk Syaheddrul R. Joddari berkata, pelancaran produk baharu itu bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu di pasaran, tetapi turut memperlihatkan komitmen LKTNS dalam memperkasakan komuniti tempatan serta memastikan rakyat menikmati bekalan makanan berkualiti dengan harga berpatutan.
“Sebagai produk pertama yang secara rasmi memasuki pasaran komersial, beras MEKAR lapan kg bukan sekadar pek beras baharu, tetapi juga mencerminkan komitmen LKTNS dalam memperkasakan komuniti, memacu inovasi tempatan, dan menyediakan keperluan asas berkualiti yang ditanam di Sabah terus ke rumah rakyat.
“Seiring dengan misi LKTNS untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, SABARAS terus memperkukuh keselamatan makanan dan kemampuan milik bagi rakyat Sabah.
“Beras MEKAR lapan kg menawarkan kualiti premium pada harga berpatutan, terutamanya pada masa di mana setiap ringgit amat berharga,” katanya.

Beras MEKAR lapan kg merupakan produk komersial pertama SABARAS yang menembusi pasaran runcit utama.
Dengan harga hanya RM22.80 bagi setiap beg lapan kg, produk ini menawarkan nilai yang seimbang antara kualiti dan kemampuan milik — sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut Syaheddrul, kerjasama dengan Kumpulan CKS, antara rangkaian pasar raya terkemuka di Sabah, memastikan produk ini mudah didapati di seluruh negeri — daripada pasar raya besar di bandar hinggalah ke kedai runcit di kawasan luar bandar.
“Usahasama SABARAS dan CKS ini menonjolkan sinergi antara perusahaan milik negeri dan perniagaan tempatan yang berjaya.
“Ia memastikan bekalan beras berkualiti pada harga stabil dan mudah diperoleh oleh semua isi rumah di Sabah,” tambahnya.
Dengan pelancaran ini, Beras MEKAR lapan kg bukan sekadar membawa nama baharu ke pasaran, tetapi menjadi simbol usaha berterusan kerajaan negeri melalui LKTNS dalam menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian sektor pertanian di Sabah.
Selain beras MEKAR, Sabaras turut mengeluarkan produk beras Orchid; beras super dan beras pulut.– SABAH MEDIA






