Read Time:1 Minute, 10 Second
KOTA KINABALU: Lima individu ditahan polis susulan insiden sekumpulan lelaki bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan di lampu isyarat berhampiran Jesselton Quay di sini pada Sabtu (28 Mac).
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan kejadian, berkata, laporan dibuat kira-kira jam 2.35 petang pada hari sama oleh seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sebagai guru.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.45 petang hari sama selepas mangsa menghadiri satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Siasatan awal mendapati, semasa pengadu menuju ke kenderaannya di kawasan parkir berhampiran gudang sebuah syarikat kurier di Pelabuhan Kota Kinabalu, berlaku provokasi lisan dengan beberapa individu dipercayai pekerja premis berkenaan.
“Situasi menjadi tegang sehingga pengadu mengundurkan kenderaan dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu beberapa individu mengejar kenderaan mangsa dan bertindak memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang, selain mengugut mangsa supaya keluar dari kenderaan.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dan mangsa telah tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi segera dan menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Permohonan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Polis memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta adil, selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.






