Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU: Sabah terus dihantui prestasi kurang memberangsangkan di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.
Gol kemenangan pelawat dijaringkan kapten Selangor, Faisal Halim pada minit ke-58, sekali gus menambah derita skuad Sang Badak yang kini mencatat kekalahan keempat musim ini.
Sabah memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Fergus Tierney meledak gol seawal minit ke-8, hasil hantaran cantik Miguel Angel Garrido Cifuentes, menewaskan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Namun, kegagalan tuan rumah mengekalkan momentum membolehkan Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-43 melalui jaringan Alvin Mateus Fortes, sekaligus menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan imbang 1-1.
Tamat masa rehat, kedua-dua pasukan memperkemas corak serangan masing-masing, namun Selangor lebih tersusun dan efektif.
Pada minit ke-58, Faisal Halim menambah jaringan kedua pelawat dengan rembatan rendah yang gagal ditahan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Selepas gol itu, Selangor hampir menambah jaringan melalui percubaan penyerang import mereka, Chrigor Flores Moraes, namun aksi cemerlang Damien menafikan peluang tersebut pada minit ke-64.
Dengan keputusan ini, Sabah kini kekal tanpa kemenangan dalam lapan aksi Liga Super, hanya mengumpul empat mata hasil empat keputusan seri, dan berada di tangga ke-10 liga.
Sabah sekali lagi akan bertemu Selangor pada perlawanan pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Likas 9 November ini. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC






